Tuesday 23 October 2012

SEMINAR SEHARI PENGAMBILAN TANAH 2012 ANJURAN KELAB INSTUN

Mungkin anda terlibat dengan proses pengambilan di peringkat kementerian/jabatan/agensi kerjaan?
Mungkin tanah anda terlibat dengan pengambilan tanah?
Mungkin syarikat anda mempunyai hasrat untuk mendapatkan tanah?
dan, anda terlalu sibuk untuk berkursus panjang dan memerlukan short course?
Seminar yang amat baik bagi mereka yang inginkan maklumat terkini isu dan masalah pengambilan tanah di Malaysia.
Penceramah dikalangan mereka yang terlibat secara langsung dengan proses pengambilan tanah dan tenaga pengajar yang berpengalaman di INSTUN.
Sesi pembentangan kertas kerja menjurus kepada isu&masalah dan kes-kes terkini dalam pengambilan tanah serta sesi perbincangan/soal jawab di akhir setiap sesi.

Seminar tahunan ini kebiasaannya mendapat sambutan amat menggalakan dan tempat adalah terhad.

Wednesday 17 October 2012

Permasalahan: Kerugian tuan tanah akibat pengukuran semula sempadan semulajadi (my point of view)

Persoalan adalah berkaitan kerugian yang dialaminya akibat dari pengukuran semula sempadan semulajadi yang menyebabkan tuan tanah  kehilangan sebahagian  tanah  berdasarkan garis terabas yang diukur semula.
Menurut seksyen 353 KTN, Pengarah Ukur Negeri perlu menentukan garis sempadan semulajadi mana-mana lot tanah yang bersempadanan dengan pantai, sungai dan lain-lain setelah diarahkan oleh Pengarah Tanah Dan Galian Negeri.  Tanah-tanah ini adalah diberimilik sebelum kuatkuasanya KTN pada 1966 dimana undang-undang tanah dahulu mengiktiraf tanah-tanah yang sempadannya berdasarkan sempadan semulajadi.
Oleh itu, Pengarah Ukur akan membuat pengukuran berdasarkan garisan terabas yang ditentukan bersesuaian dengan sempadan laut tersebut. Menurut, Peraturan Pengukuran kadaster 2002, Peraturan 34, menyatakan garisan terabas perlulah seberapa hampir dengan garisan sempadan semulajadi tersebut, Seterusnya mengeluarkan P.A bagi tindakan Pengarah Negeri.
Pengarah Negeri perlu menghantar notis kepada pemilik tanah dan orang-orang lain yang ada kepentingan berdaftar ke atas tanah tersebut menyatakan garis sempadan yang ditentukan bersama pelan. Tuan Tanah boleh membuat bantahan iaitu 6 bulan dari tarikh notis tersebut diserahkan kepadanya. Pengarah Negeri mempunyai kuasa untuk menolak atau menerima bantahan Ali dengan memohon untuk diukur semula sempadan berkenaan.
Kesimpulannya , sebagai pemilik tanah yang mempunyai hakmilik tidak boleh disangkal, boleh mengekalkan keluasan tanahnya dimana memohon kepada Pengarah Negeri mengukur semula tanahnya berdasarkan garisan asal pantai. Jika penebusan guna tanah yang dibuat oleh agensi kerajaan melangkaui ke tanah Tuan Tanah (setelah Tuan Tanah memastikan sempadan sebenarnya dengan ukuran semula), adalah menjadi kewajiban agensi tersebut membayar gantirugi.
Namun begitu, jika tanah beliau telahpun menjadi dasar laut akibat dari kemaraan laut, ini akan menyebabkan kekurangan keluasan tanah beliau. Mengikut seksyen 49 KTN, mana-mana tanah yang menjadi dasar laut atau sungai, tanah tersebut akan kembali semula kepada PBN. Selain dari itu, penentuan garis terabas yang dibuat adalah munasabah sehampir dengan garisan pantai dan menyebabkan kekurangan keluasan, oleh yang demikian juga  akan menyebabkan Ali tiada hak untuk mendapat gantirugi keatas kekurangan keluasan tanah beliau. Penafian hak tersebut wajib melalui pengwartaan dan pengukuran semula seterusnya hakmilik sambungan didaftarkan oleh Pentadbir Tanah.

Permasalahan : Punca Kesilapan tertukar No.Lot dalam penukaran QT-FT ( my point of view)

        No.lot yang berlainan dengan suratan hakmilik sementara boleh berlaku didalam proses penukaran QT ke FT di atas beberapa sebab. Namun begitu di dalam persoalan ini ada kemungkinan besar berlaku kesilapan di Pejabat Tanah diperingkat Permohonan Ukur.
Permohonan ukur adalah satu keperluan utama bagi Pejabat Tanah untuk mengeluarkan hakmilik tetap bagi menukarkan hakmilik sementara kepada hakmilik tetap. Jabatan Ukur akan menjalankan pengukuran halus dan memberikan nombor lot bagi menukarkan nombor PT sementara yang diberi oleh Pejabat Tanah pada tanah tersebut. Kemungkinan berlakunya tertukar no.lot yang diberi oleh Jabatan Ukur dan nombor Hakmilik Sementara adalah disebabkan permohonann ukur yang dibuat secara pukal atau dalam kuantiti yang banyak seperti tanah-tanah kampong tersusun dan pemberimilikan berkelompok.
Kesilapan tertukarnya lot tanah dan hakmilik boleh berlaku kebiasaanya diperingkat Permohonan Ukur dimana:
i.                     Pengisian maklumat dalam Borang Permohonan Ukur.
Borang P.U merupakan satu instrumen pentadbiran yang digunakan oleh Pejabat Tanah sebagai penghubung bagi menerangkan maksud permohonan pengukuran di negeri-negeri ke Jabatan Ukur. Diperingkat ini mungkin berlakunya kesilapan mengisikan no.PT dan no.hakmilik, sebagai contoh No.PT 122 untuk hakmilik HS(M) 522 tetapi diisi silap seperti berikut No.PT 122 kepada HS(M) 523.

ii.                   Kesilapan Pelan Permohonan Ukur
Pelan permohonan ukur meupakan satu pelan yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah yang disertakan sekali bersama-sama Borang Permohonan Ukur  ke Jabatan Ukur bagi tujuan permintaan pengukuran halus. Pelan Permohonan Ukur merupakan pelan asas bagi Jabatan Ukur untuk memulakan kerja-kerja menyediakan surehan kerjaluar untuk kegunaan pegawai ukur. Pelan permohonan Ukur mestilah mempunyai butir-butir lot yang henadk diukur serta lain-lain keterangan yang berkaitan.
Ada kemungkinan berlakunya kesilapan diperingkat awal lagi di dalam Pelan di Pej.Tanah di mana Pelukis Pelan mencatitkan no.PT yang salah di atas pelan sesuatu tanah tersebut. Amalan di Pej.Tanah apa-apa pembangunan dan pemberimilikan (termasuk LPS dan Permit) diluluskan, Pelukis Pelan akan bertanggungjawab men’charting’ atau membuat penandaan/catitan di syit piawai di Pej.Tanah tersebut. Di dalam kes pemberimilikan, Pelukis Pelan perlu mencatitkan no.PT ke atas pelan tanah tersebut. Oleh itu, apabila Pelan P.U (yang salah) sampai ke Jabatan Ukur, pengawai ukur yang terlibat hanya merujuk kepada No.PT tersebut dan memberikan/menukar kepada no.lot setelah pengukuran dibuat.

iii.                  Butiran –butiran Rajah Lot yang salah.
Di dalam Permohonan Ukur, aspek terpenting adalah Rajah Permohonan Ukur dimana ianya mengandungi butiran-butiran berkenaan rajah lot yang hendak diukur oleh JUPEM. Butiran kepada rajah lot adalah mengandungi Nombor PT pada lot yang hendak diukur, keluasan, bering &jarak, garis sempadan diwarnakan dengan warna merah dan akhir sekali bering & jarak sambungan kepada lot-lot yang berkaitan.
Maka, kesilapan dalam membekalkan butiran-butiran pada rajah lot ini , seperti pelan PT yang hendak diukur digambarkan secara salah didalam butiran rajah lot yang diserahkan kepada pihak JUPEM akan member kesan kepada diakhir pengukuran dimana lot yang diukur bagi hakmilik yang lain.
Bagi mengelak perkara ini berlaku, pihak Pejabat Tanah perlu mengelakkan kesilapan-kesilapan yang seperti dinyatakan diatas. Jika berlakunya kesilapan diperingkat awal permohonan, ianya akan menjejaskan keseluruhan proses pengukuran yang akan dilakukan olleh JUPEM. Pihak JUPEM juga ada kemungkinan melakukan kesilapan seperti kesilapan dalam prosedur dan perlaksanaan kerja ukur atau kesilapan dalam butiran Arahan Ukur.

Permasalahan :Pertikaian sempadan tanah milik ( my point of view)

Kes: Pertikaian sempadan tanah antara En.Ali dan jiran bersebelahan tanah beliau dimana jiran tersebut menyatakan bahawa En.Ali telah membina rumah yang melebihi ke tanah beliau. Bagi menasihatkan En.Ali perkara-perkara dibawah perlulah dinyatakan:
Pengukuran Semula
Di dalam kes ini jika hakmilik tanah yang dipegang oleh En.Ali adalah hakmilik tetap  pengukuran semula sempadan perlu dibuat bagi memastikan takat sempadan sebenar kedua-dua tanah tersebut. En.Ali boleh melantik seorang Jurukur Berlesen (berkelayakan) bagi penentuan sempadannya berdasarkan pelan didalam hakmilik. Namun begitu, beliau juga boleh memohon bantuan kepada JUPEM bagi membuat pengukuran pengesahan sempadan dan tanda sempadan.
Jika hakmilik yang dipegang oleh En.Ali adalah hakmilik sementara, dinasihatkan En.Ali membuat pengukuran halus terhadap tanah  beliau bagi mendapatkan sempadan yang muktamad berdasarkan keluasan yang yang dinyatakan didalam hakmlik beliau. Bagi tujuan ini, beliau perlu melantik Jurukur Tanah Berlesen (berkelayakan) bagi penyediaan pelan untuk disahkan oleh PUN ataupun memohon kepada JUPEM pengukuran tanah beliau. Dinasihatkan juga En.Ali memohon hakmilik tetap (FT) kepada Pentadbir Tanah melalui pelan yang telah diukur halus tersebut.
Setelah pengukuran
Terdapat dua kemungkinan hasil dari pengukuran iaitu rumah En.Ali benar-benar masuk ke tanh jirannya ataupun tidak.
Rumah En.Ali tidak termasuk  ke tanah jiran.
En.Ali bolehlah mengemukakan bukti-bukti pengukuran dan proses-proses yang telah dilaksanakan kepada jirannya. Terutamanya, beiau perlu membuktikan tanda garis sempadan melalui pengukuran semula dengan kedudukan rumah beliau.Ini bagi menafikan tuntutan beliau sebelum ini.
Rumah En.Ali termasuk ke dalam tanah jiran.
Selepas pengukuran semula didapati rumah beliau melangkaui sempadan tanah jirannya. Mengikut undang-undang hakmilik adalah bukti muktamad dimana jirannya mempunyai hak eksklusif keatas tanahnya dan boleh bertindak terhadap penceroboh seperti En.Ali. Namun begitu, En.Ali mungkin mengalami kerugian yang besar jika merobohkan rumahnya. Di peringkat awal dicadangkan perbincangan antara beliau dengan jirannya, dinasihatkan seperti berikut:
i.                     Membeli  keseluruhan tanah  jirannya sekiranya jiran beliau bersetuju.atau
ii.                   Membeli bahagian yang terlibat dengan cara berikut (jika jirannya setuju dan diluluskan oleh PBN). Iaitu membeli bahagian tanah jiran yang terlibat dengan harga yang dipersetujui, Jiran memindahmilik sebahagian dari tanahnya yang terlibat berdasarkan keluasan dan syer yang bersesuaian dan seterusnya jirannya membuat pecah bahagian (bagi tujuan mengeluarkan hakmilik berasingan) dan menyerahkan hakmilik yang terlibat kepada En.Ali.
Jika, tiada persetujuan yang diperolehi, En.Ali terpaksa merobohkan binaan/rumah yang terlibat.

Tuesday 16 October 2012

Ringkasan: Penempatan awal di Tanah Melayu

Zaman Batu
 Zaman batu terbahagi pada 3 fasa iaitu:

1.  Zaman Batu Awal (Paleolitik)


Tahun              :           8,000 tahun S.M
Penempatan     :           Gua-gua batu kapur berhampiran puncca air
                                   (Gua Badak & Kota Tampan ,Perak, Gua Niah, Sarawak dan Tingkayu ,Sabah)
                                   ancaman binatang buas dan cuaca buruk.
Pekerjaan                  berburu ,bertukang dan senjata


2.  Zaman Batu Tengah (Mesolitik)

Tahun              :           5,000 tahun S.M
Penempatan     :           Sebahagian besar di Gua Batu kapur, Pinggir2 Laut
                                    (Gua Cha-Kelantan, Gua Kecil-Pahang, Jenderam Hilir-SelangorGua Madai,
                                   GuaTengkorak, Gua Kamantong di Sabah, Gua Niah-Sarawak)

Pekerjaan       :           Berburu dan menangkap ikan, bercucuk tanam

Aktiviti            :           pertukaran hasil tembikar dari penduduk pendalaman dan kulit-                                  kulit siput penduduk pinggir pantai sebagai gantian kepada barang makanan.      

 
3.         Zaman Batu Baru (Neolitik)

Tahun              :         2,500 tahun S.M

Penempatan     :         Kebanyakkannya di persisiran pantai dan sedikit di dalam gua

Pekerjaan                berburu, menangkap ikan , bercucuk tanam dan berdagang

Aktiviti                    lebih maju dari zaman sebelum dengan kehidupan yang lebih tersusun dan teratur.  
                                Wujudnya aktiviti perdagangan seperti hasil laut iaitu ikan ,siput ,kerang dan                 
                                 hasil hutan seperti damar,rotan,cendana, kayu gaharu dan gading.

Pembaharuan   :           -alat-alat baru seperti kapak,pisau dan beliung
                                    -perahu untuk berdagang- barang-barang perhiasan seperti gelang,batu kawi 
                                    untuk perhiasan diri dan mengecat  tembikar

                  


Zaman Logam (Gangga-Besi)

Zaman batu berakhir dengan zaman logam (gangga besi) dimana pembaharuan dan teknologi mula dijelajahi dan dipraktikkan seterusnya mewujudkan masyarakat bertamadun. Sistem kenegaraan dan beraja wujud selepas ini.

Tahun              :           5 S.M hingga Abad 2 T.M

Penempatan     :           kawasan lapang,di tepi sungai dan persisiran pantai (penempatan paling penting di   
                                   Sungai Lang ,Selangor dan batu Buruk,Terengganu.

Aktiviti            :           lebih tersusun dari ketiga-tiga zaman terdahulu dengan kerja-kerja memburu,
                                   bercucuk tanam,memungut hasil hutan,menangkap ikan,berternak, melombong 
                                  dan  berdagang.

Pembaharuan   :         -penciptaan barangan besi untuk menebas,menggali dan menebang pokok dan 
                                   perlombongan (tulang mawas)
                                   -kepercayaan kepada adat dan kepercayaan dengan menanam  mayat berbatu 
                                     keping dan keranda

Sumber : Malaysia Kita, web-web semasa
 

Thursday 4 October 2012

Adjudifikasi Surat Cara


1.         Pengenalan
Akta 378, Akta Setem 1949 merupakan satu akta yang digubal dibawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 76(4) yang dipakai di seluruh Malaysia. Akta ini memberi kuasa kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam memungut cukai yang melibatkan sebarang perjanjian yang mewujudkan kontrak diantara 2 pihak atau lebih. Ianya melibatkan kontrak pemilikan mana-mana harta alih dan harta tak alih. Secara umumnya, salah satu sebab sesuatu perjanjian, akuan, suratikatan dan lain-lain persetujuan dibuat secara bertulis dan di letakkan setem di bawah akta ini ialah untuk memudahkan pengurusan persetujuan itu kelak. Ini kerana tanpa didokumenkan dan disetemkan maka amat sukar pihak-pihak yang berkenaan untuk mengemukakan dan membuktikan apa yang telah dipersetujui. Seterusnya apabila didokumenkan maka satu masaalah utama seperti dinyatakan di atas telah dapat diatasi. Namun halangan berikutnya ialah: Apabila berlaku pertikaian maka pihak-pihak akan merujuk kepada apa yang telah didokumenkan (terutamanya perjanjian), terutamanya apabila pertikaian itu dirujuk kepada mahkamah. Secara khususnya kepentingan pengseteman adalah seperti berikut:
Pertama, mengelak daripada dikenakan denda mengikut peruntukan dibawah seksyen 63 Akta. Seksyen 63 memperuntukkan seperti berikut:
         “63(1) Mana-mana orang yang –
(a)dengan tujuan mengelak bayaran duti, menyedia, membuat, melaksana atau menandatangani, selain daripada sebagai saksinya, mana-mana suratcara walau apapun jenisnya yang dikenakan duti tanpa ianya disetemkan sewajarnya; atau
(b)telah menyedia, membuat, melaksana atau menandatangani, selain daripada sebagai saksinya mana-mana suratcara walau apapun jenisnya yang dikenakan duti, tanpa alasan yang sah, gagal melaksanakan penseteman sewajarnya baginya dalam masa suratcara itu boleh disetemkan tanpa penalti dibawah Akta ini; atau
(c) ……… boleh dikenakan denda tidak melebihi satu ribu lima ratus ringgi”
Kedua, bagi membolehkan dokumen-dokumen berkenaan diterima sebagai keterangan di mahkamah, terutama semasa dikemukakan sebagai keterangan dalam tindakan sivil (terutama menuntut gantirugi) diantara pihak-pihak. Ini penting kerana menurut peruntukan Seksyen 52 Akta Setem 1949, suratcara yang tidak disetemkan sewajarnya tidak boleh diterima sebagai keterangan (kecuali didalam kes-kes jenayah5, atau apabila suratcara atau dokumen berkenaan disetemkan kemudiannya setelah membayar penalty. Dengan itu, menurut seksyen 52 tersebut, suratcara yang dikenakan duti setem (tetapi telah tidak disetemkan secukupnya atau tidak disetemkan) tidak boleh dijadikan keterangan primer atau didaftarkan, atau diakusah oleh mana-mana pegawai awam.

2.         Definisi adjudikasi dan surat cara
Adjudikasi merupakan penaksiran sesuatu suratcara yang digariskan di dalam Jadual Pertama Akta ini. Jadual Pertama ini mengariskan jumlah bayaran yang diperlu dibayar oleh pihak-pihak yang terlibat dalam mewujudkan sesuatu surat cara dalam bentuk Setem Hasil yang boleh didapati di Pejabat Pos Malaysia (Lihat Lampiran 1- Jadual Pertama). Penseteman adalah dengan cara merekatkan setem hasil atau secara kaedah franki dibahagian hadapan (yakni muka depan) surat cara/dokumen. Salinan dokumen (yakni dalam bentuk salinan bandingan atau salinan rangkap tidaklah dianggap telah disetemkan sewajarnya walaupun salinan pertamanya telah disetemkan sewajarnya. Menurut peruntukan Seksyen 12 Akta Setem 1949, salinan bandingan atau salinan rangkap itu hanya boleh diterima sebagai keterangan jika ianya disetemkan seperti salinan asal, atau satu perakuan di atasnya dibuat oleh Pemungut Hasil yang menyatakan bahawa amaun penuh dan duti yang betul telah pun dibayar bagi salinan asal kepada salinan bandingan atau salinan rangkap berkenaan.
Menurut Seksyen 1(tafsiran), Akta Setem 1949, Surat cara bermaksud termasuk tiap-tiap dokumen bertulis. Secara umumnya, surat cara boleh dikategorikan kepada 2 jenis iaitu:
            i)          Surat cara di bawah mana-mana statut.
            Surat cara ini bermaksud borang-borang yang perlu diperuntukan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa di dalam mana-mana urusan yang melibatkan apa-apa urusan yang mengesahkan pendaftaran. sebagai contoh borang-borang Urusniaga di bawah Kanun Tanah Negara 1965 seperti Borang 14A (Pindahmilik), Borang 14B (Pindahmilik gadaian), Borang 15A (Pajakan Tanah), Borang 16A (Gadaian) dan lain-lain yang melibatkan pendafatarnnya di dalam hakmilik tanah. Selain daripada itu, pengseteman juga perlu dilaksanakan di atas undang-undang lain yang berkuatkuasa seperti undang-undang pengangkutan, insuran, pendaftaran syarikat dan sebagainya.
ii)         Surat cara/dokumen lain.
            Ianya melibatkan mana-mana nota kontrak, perjanjian, affidavit, Akuan Berkanun, perjanjian, memorandum, Surat Kuasa Wakil, cek, polisi insuran dan sebagainya. Ianya melibatkan pengwujudan kontrak antara beberapa pihak samada diantara orang perseorangan, syarikat-syarikat, Badan Berkanun ataupun kerajaan negeri/persekutuan. Pengesahan kontrak menjadi sah di mahkamah melalui pengseteman atau mati setem. Surat cara ini mempunyai beberapa syarat di dalm kontrak yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat. Berkuat kuasa 1hb Januari 2009, bayaran adjudikasi surat cara RM10 tidak lagi dikenakan.


3.         Pemungut dan Timbalan Pemungut Duti Setem
Menurut Seksyen 3, Akta Setem 1949, Pemungut dan Timbalan Pemungut Duti Setem adalah mereka yang dilantik oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri yang dirujuk di dalam Seksyen 134(1) Akta Cukai Pendapatan 1967. Menteri Kewangan juga boleh melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik sebilangan Timbalan Pemungut Duti Setem yang sedemikian sebagimana yang difikirkan wajar untuk menjalankan kuasa pengeseteman di bawah Akta ini. Di dalam pentadbiran tanah, Timbalan Pemungut Duti setem merupakan Pentadbir Tanah di daerah itu sendiri. Beliau diwartakan sebagai Timbalan Pemungut Duti Setem terhadap mana-mana urusniaga tanah berdasarkan nilaian tanah tersebut yang diperolehi melalui Jabatan Perkhidmatan Dan Penilaian Harta negeri berkenaa.

4.         Tanggungjawab Pengseteman
Bagi hal ehwal urusniaga tanah, menurut peruntukan Kanun Tanah Negara 1965, mana-mana orang/ badan atau syarikat yang melaksanakan urusniaga tanah iaitu pindahmilik, gadaian, pajakan dan sebagainya perlu melaksanakan pengesteman sebelum urusniaga itu di daftarkn dengan sempurna. Sebagai contoh, apabila sesuatu harta tanah dipindahmilik, penerima pindah milik dikenakan Duti Setem. Duti Setem dibayar berasaskan kepada harga harta tanah tersebut atau nilai pasarannya, yang mana Iebih tinggi. Perkara ini diperuntukkan di bawah Jadual Pertama Akta Setem, 1949 (Akta 378). Kadar duti dikira seperti berikut:
  • 1% bagi RM100,000 pertama;
  • 2% bagi RM400,000 berikutnya; dan
  • 3% bagi baki berikutnya.
Pihak yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran, perkiraan dan pungutan duti ini ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Peranan JPPH adalah menilai harta tanah terlibat bagi menentukan nilai pasarannya. Tarikh nilaian ialah pada tarikh penyempurnaan Perjanjian Jual Beli, jika tiada perjanjian jual-beli, ia adalah tarikh penyempurnaan instrumen pindahmilik. Penerima pindahmilik boleh memudahkan proses penilaian dengan:-
  • Memastikan semua borang terlibat diisi dengan Iengkap dan sempurna;
  • Menyertakan sesalinan Perjanjian Jual Beli dan sesalinan hakmilik tanah.
LHDN akan merujuk borang berkenaan kepada JPPH. Pegawai JPPH kemudian akan menilai harta tanah tersebut dan melapor kepada LHDN yang akan memaklumkan jumlah duti yang kena dibayar. Sekiranya terdapat sebarang rayuan terhadap nilaian, ia boleh dirujuk secara bertulis kepada LHDN dan sesalinan kepada JPPH.

Selain daripada urusniaga tanah, mana-mana surat cara menjadi tanggungjawab setiausaha syarikat/pendaftar, Seksyen 52(1) Akta Setem 1949 melarang pendaftaran, penerimaan atau pengiktirafan mana-mana surat cara yang tidak disetemkan dengan sempurna. Sekiranya tugas anda termasuk mendaftar, menerima atau mengiktiraf surat cara pindah milik syer dan surat ikatan penyerahhakan, sila hubungi Timbalan Pemungut Duti Setem untuk menentukan sama ada surat cara tersebut dikenakan duti tetap atau duti ad valorem. Kegagalan untuk mematuhi seksyen tersebut boleh dikenakan hukuman bawah seksyen 69(2) dengan denda yang tidak melebihi RM1500.Tanggungjawab peguam, sekiranya terdapat sebarang keraguan terhadap perkara-perkara teknikal atau prosedur-prosedur, sila hubungi Timbalan Pemungut Duti Setem untuk mendapatkan penjelasan. Kerani atau penghantar dokumen tidak sepatutnya diarah untuk mewakili syarikat dalam isu-isu teknikal dan prosedur-prosedur mengenai pengenaan setem. Sila pastikan juga prosedur bayaran di Pejabat Setem Cawangan / Pusat Khidmat Hasil dipatuhi dengan mengemukakan cek clients' account yang tidak bermasalah.

5.         Cara pembayaran
Menurut seksyen 33(a) Akta Setem 1949, duti setem hendaklah dibayar oleh orang atau pihak yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga Akta. Pembayaran duti setem boleh dibuat kepada Lembaga hasil Dalam Negeri dengan cara :
  1. Wang tunai (jika duti atas sesuatu dokumen tidak melebihi RM100) atau
  2. Setem Hasil (jika duti atas sesuatu dokumen tidak melebihi RM500) atau
  3. Kiriman Wang, Cek Peguam atau Draf Bank di atas nama Pemungut Duti Setem dan hendaklah disertakan bersama-sama dengan surat cara yang berkenaan kepada pejabat setem secara serahan tangan atau melalui surat berdaftar.


6.         Penalti (duti setem)
Pada amnya, sesuatu dokumen hendaklah disetemkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh ianya disempurnakan dalam Malaysia atau dalam tempoh 30 hari selepas ia diterima dalam Malaysia sekiranya ia disempurnakan di luar Malaysia.
Sekiranya ia tidak disetemkan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti yang boleh dikenakan adalah seperti berikut;
  1. RM25.00 atau 5% daripada duti yang berkurangan, yang mana lebih tinggi, sekiranya ia disetemkan dalam tempoh 3 bulan selepas masa untuk penyeteman;
  2. RM50.00 atau 10% daripada duti yang berkurangan, yang mana lebih tinggi, sekiranya ia disetemkan selepas tempoh 3 bulan tetapi tidak lewat daripada 6 bulan selepas masa untuk penyeteman;
  3. RM100.00 atau 20% daripada duti yang berkurangan, yang mana lebih tinggi, sekiranya ia disetemkan selepas 6 bulan selepas masa untuk penyeteman;



7.         Pelepasan duti setem
Pelepasan duti setem diperuntukan di bawah Seksyen 15 iaitu relief daripada duti setem dalam kes penubuhan semula atau penyatuan syarikat dan juga Seksyen 15A yang melibatkan relief daripada duti setem yang melibatkan kes pemindahan harta antara syarikat bersekutu. Di dalam pentadbiran tanah pelepasan atau pengurangan duti setem boleh dipohon oleh pihak yang terlibat melaui surat kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri melalui Timbalan Pemungut Duti Setem (Pentadbir Tanah). Namun begitu, pendaftaran urusniaga berkenaan (pindahmilik, gadaian dan sebagainya) tidak didaftarkan selagi keputusan permohonan tersebut diperolehi dari Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.




8.         Rujukan

Abdul Aziz Hussin AMN, DPA; LL.B(Hons); Dip.M.Mgmt.; MSc(Prjt.Mgmt.);
MMIM; Peguambela & peguamcara; MMAP, Pengseteman Kontak.

Ismail Omar, Prof, UTM, Pelaburan Hartanah, Dewan bahasa Dan Pustaka

Saidon b. M.Salim, INSTUN (2010) Urusniaga Dan Bukan Urusniaga DiBawah KTN Dan  Pendaftarannya, Nota Kursus Urusniaga, INSTUN (2010).

Salleh Buang, Prof (1993). “Undang-Undang Tanah di Malaysia”. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2001. Akta A1104. Percetakan Nasional Berhad. Kuala Lumpur

Akta Setem 1949 (Akta 378), International Law Book Services

Laman sesawang Lembaga hasil Dalam Negeri, www.hasil.org.my




Monday 5 March 2012

Jawapan Ujian Kursus Pemantapan Pengambilan Siri 1

1.            Bagi mengelak ‘caj bayaran lewat’, mengikut seksyen 32 Akta Pengambilan Tanah 1960, pemohon hendaklah (shall) membayar pampasan
………………………………………………….

A.            dalam tempoh 3 bulan dari tarikh Borang G
B.            dalam tempoh 3 bulan dari tarikh Borang H
C.           dalam tempoh 3 bulan dari tarikh terima Borang H
D.           dalam tempoh genap masa


2.            Manakah di bawah ini bukan menjadi syarat untuk membuat bantahan ke Mahkamah ?

A.            Menggunakan Borang N dan dibuat melalui Pentadbir Tanah
B.           Terima jumlah pampasan seperti yang tercatit di dalam Borang H
C.           Terima dengan bantahan jumlah pampasan seperti yang tercatit di dalam  Borang H
D.           Bayar deposit bila diminta oleh Pentadbir Tanah

3.            Bilakah masa paling awal ‘ambil milik’ boleh dilakukan oleh Pentadbir Tanah?

A.           Pada atau selepas 15 hari ‘notis awam’ Borang E disempurnakan mengikut  seksyen 52 Akta Pengambilan Tanah 1960
B.            Pada atau selepas 15 hari Borang H diserahkan mengikut  seksyen 16 Akta Pengambilan Tanah 1960
C.           Pada atau selepas 15 hari Borang K diserahkan mengikut  seksyen 22 Akta Pengambilan Tanah 1960
D.           Selepas bayaran pampasan dibuat

4.            Sebelum ‘notis awam’ Borang E disempurnakan, Pentadbir Tanah hendaklah……………………. seperti yang dikehendaki oleh seksyen 9 Akta Pengambilan Tanah 1960.

A.            pastikan penandaan atas tanah kawasan yang terlibat telah dibuat
B.            catatan dalam dokumen hakmilik daftar telah disempurnakan
C.           tanda tangan borang tersebut (Borang E)
D.           A dan B di atas

5.            Apabila tanah-tanah yang terlibat dengan pengambilan telah diwartakan di bawah seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960, bilakah masa paling awal  Pentadbir Tanah boleh menjalankan siasatan pengambilan?

A.            Bila-bila masa selepas itu
B.            Tidak kurang 21 hari dari tarikh Borang E
C.           Tidak kurang 21 hari dari tarikh notis Borang E di tampal
D.           Tidak kurang 21 hari dari tarikh notis Borang E diserah

6.            Pewartaan dibawah seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 berkuatkuasa selama 2 tahun dari tarikh warta sehingga………………

A.            siasatan dijalankan
B.           perintah Borang G dibuat
C.           tarikh siasatan dijalankan
D.           Notis Borang K diserahkan







7.            Manakah kenyataan-kenyataan di bawah yang benar mengenai pewartaan dibawah seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960?

              I.                Berkuatkuasa selama 12 bulan dari tarikh warta
            II.                Tidak perlu dicatat dalam dokumen hakmilik daftar
           III.                Tempoh pewartaan yang telah luput semua prosiding terbatal
          IV.                Tempoh pewartaan boleh dilanjutkan
            V.                Tujuan pewartaan untuk kajian kesesuaian tanah

A.            I dan II sahaja
B.           I, II, IV dan V
C.           I, III, V dan VI sahaja
D.           II dan IV


8.            Mengikut seksyen 29A Akta Pengambilan Tanah 1960, jika pihak yang memohon pengambilan tanah ingin membuat bantahan ke Mahkamah, mereka hendaklah (shall) membayar………………amaun bayaran pampasan kepada orang berkepentingan (tuan tanah).

A.            keseluruhan
B.           hanya 75% daripada
C.           hanya 25% daripada
D.           hanya separuh daripada


9.            Pemohon pengambilan tanah di bawah seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 boleh menarik balik permohonan tersebut (tak jadi ambil) sebelum………………...................................................................................

A.            pewartaan di bawah seksyen 4
B.            pewartaan di bawah seksyen 8
C.           pembayaran pampasan di bawah seksyen 16
D.           ambil milik di bawah seksyen 22
10.          Mengapakah pampasan tidak dibayar untuk pokok-pokok yang ditanam atau tumbuh secara semula jadi di atas tanah yang terlibat dengan pengambilan?
Berdasarkan soalan di atas, kenyataan manakah yang tepat.

A.           pokok dan tanaman termasuk dalam tafsiran tanah mengikut
                              Kanun Tanah Negara
B.            mengikut Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960 pokok tidak dibayar
C.           pokok tiada dalam tafsiran Seksyen 2 Akta Pengambilan Tanah 1960
D.           pemohon tidak akan membayar


11.          Berikut adalah tindakan yang mesti dilakukan oleh Pentadbir Tanah mengikut Seksyen 9 APT 1960.

A.           penandaan diatas tanah
B.            penyerahan Borang E
C.           menampal Borang E
D.           pewartaan Borang D


12.          Salah satu daripada senarai di bawah, adalah tindakan yang mesti (shall) dilakukan oleh Pentadbir Tanah mengikut seksyen 25 Akta Pengambilan Tanah 1960.

A.            penyerahan Borang K kepada orang berkepentingan
B.           Memohon pengukuran dibuat jika pengambilan hanya melibatkan
                              sebahagian daripada lot
C.           membayar wang pampas an kepada orang berkepentingan
D.           penarikan balik dari pengambilan kerana peruntukan tidak
                              mencukupi





13.          Pembayaran deposit untuk tujuan bantahan ke Mahkamah adalah sebanyak …

A.            RM 3,000.00 atau 10% mana  yang lebih
B.            10% daripada amaun dituntut mana yang kurang
C.           RM3,000.00 atau 10% daripada amaun dituntut, mana yang kurang
D.           RM3,000.00 atau 10% daripada award, mana yang kurang

Soalan 14 hingga 18 berdasarkan kenyataan di bawah:

Tarikh pewartaan seksyen 4                                       1.2.2008
Tarikh pewartaan seksyen 8                                       1.12.2008
Tarikh tanda tangan Borang E                                    15.12.2008
Tarikh tampal Borang E                                              16.12.2008
Tarikh serah Borang E                                                20.12.2008
Tarikh siasatan pengambilan                                       20.1.2009
Tarikh perintah Borang G                                           20.1.2009
Tarikh Borang H                                                           1.2.2009
Tarikh serah Borang H                                               15.2.2009
Tarikh terima Borang H                                              15.2.2009
Tarikh ambil milik                                                        16.3.2009


14.          Tarikh siasatan pada 20.1.2009 adalah menepati seksyen 10 Akta Pengambilan Tanah 1960 kerana…

A.            melebihi 21 hari dari tarikh serah Borang E
B.           melebihi 21 hari dari tarikh penampalan notis awam Borang E
C.           melebihi 21 hari dari tarikh tandatangan notis awam Borang E
D.           melebihi 21 hari dari tarikh warta seksyen 8 Akta Pegambilan
                              Tanah 1960

15.          Pemohon meminta Pentadbir Tanah mengambil milik tanah melalui Perakuan Kedesakan Borang I. Tarikh paling awal Pentadbir Tanah boleh mengambil milik tanah tersebut adalah pada atau selepas 15 hari dari …
A.            1.12.2008
B.            15.12.2008
C.           16.12.2008
D.           16.3.2009


16.          Mengikut perenggan 1 Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960, tarikh nilai pasaran tanah yang terlibat dengan pengambilan adalah ditetapkan pada…
A.           1.2.2008
B.            1.12.2008
C.           12.12.2008
D.           20.1.2009


17.          Bayaran pampasan mesti dibuat oleh pemohon dalam tempoh 3 bulan dari tarikh…
A.            20.1.2009
B.            1.2.2009
C.           15.2.2009
D.           16.3.2009


18.          Jika tuan tanah hadir semasa siasatan dan perintah dibuat dan beliau ingin membuat bantahan ke Mahkamah mengikut seksyen 37 Akta Pengambilan Tanah 1960, tempoh masa yang ditetapkan adalah 6 minggu dari tarikh…
A.           20.1.2009
B.            1.2.2009
C.           15.2.2009
D.           16.3.2009

19.          ‘Orang berkepentingan’ mempunyai tempoh 6 minggu dari tarikh perintah Borang G untuk membuat bantahan ke Mahkamah. Jika tempoh tersebut telah luput, siapakah yang boleh membenarkan perlanjutan tempoh jika orang berkepentingan masih ingin meneruskan bantahannya?

A.            Mahkamah
B.           Mahkamah Tinggi
C.           Pihak Berkuasa Negeri
D.           Pengarah Negeri


20.          Jika orang berkepentingan itu hadir semasa Pentadbir Tanah membuat award, tempoh bagi beliau membuat bantahan ke mahkamah adalah …
A.        6 minggu dari tarikh Pentadbir Tanah membuat award
B.         6 minggu dari tarikh Borang H
C.        6 minggu dari tarikh terima Borang H
D.        6 minggu dari tarikh Borang G


21.          Menurut Akta Pengambilan Tanah 1960, berikut adalah definisi ‘orang berkepentingan’ kecuali...

A.            Pemilik Tanah
B.            Pemohon
C.           Penyewa mengikut ihsan
D.           Pemajak tanah






22.          Jika tuan tanah ingin membuat bantahan ke Mahkamah mengikut seksyen 37 Akta Pengambilan Tanah 1960, pemohon hendaklah membayar pampasan …
A.        kesemuanya
B.         hanya 75% daripada amaun pampasan tersebut
C.        hanya 25% daripada amaun pampasan tersebut
D.        tidak perlu bayar hingga keputusan telah dibuat oleh Mahkamah

23.          Borang yang berkaitan dengan ‘ambil milik' adalah
A.        Borang K
B.         Borang L
C.        Borang M
D.        Borang N


24.          Notis Borang E adalah Notis Siasatan pengambilan tanah. Notis tersebut hendaklah (shall) ditampal (posted) mengikut seksyen 52 dan diserahkan kepada orang berkepentingan mengikut seksyen 53. Dimanakan notis itu mesti ditampal?

            i.          Di Pejabat Tanah Daerah
            ii.          Di papan kenyataan awam
            iii.         Di atas tanah terlibat atau berhampiran dengan tanah itu
            iv.        Di mana-mana sahaja

A.            i sahaja
B.            i dan ii sahaja
C.           i,ii dan iii sahaja
D.           iv sahaja




25.          Semasa siasatan mengikut seksyen 12 Akta Pengambilan Tanah 1960 dijalankan, tuan punya tanah memohon kepada Pentadbir Tanah supaya membayar gantirugi pokok buah-buahan yang terlibat dengan pengambilan. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh Pentadbir Tanah?

A.            Membayar sepertimana yang dipohon
B.           Tidak membayarnya kerana tidak dibenarkan oleh Akta
C.           Tidak membayarnya kerana tidak dipersetujui oleh pemohon
D.           Tidak mengambil apa-apa tindakan


Soalan 26 dan 27 adalah berkaitan.

26.          ‘Orang berkepentingan’ yang bercadang untuk membuat bantahan ke Mahkamah mengikut seksyen 37 Akta Pengambilan Tanah 1960 hendaklah menggunakan…

A.         Borang M
B.        Borang N
C.        Borang O
D.        Borang P


27.          Selain daripada menggunakan Borang seperti soalan 26 di atas. Manakah antara berikut merupakan syarat-syarat lain yang perlu dipatuhi oleh pemohon.
i.          Bantahan dibuat dalam tempoh 6 minggu dari tarikh perintah, jika pemohon hadir
ii.          Bayar deposit sebanyak RM3,000.00
iii.         Bayar deposit sebanyak RM3,000.00 atau 10% daripada amaun dituntut, mana yang kurang
iv.        Terima pampasan dengan bantahan




A.         i sahaja
B.         i dan ii sahaja
C.        i dan iii sahaja
D.        i, iii dan iv sahaja


                  PEMOHON                                                    TUJUAN PENGAMBILAN

            i.          TNB                                                                 Pencawang elektrik
            ii.          PETRONAS                                                   Rumah kakitangan
            iii.         KEJORA                                                         Kuarters kakitangan
            iv.        PERDA                                                           Perumahan
            v.         JABATAN PERUMAHAN NEGARA             Rumah Kos Rendah
            vi.        KEMENTERIAN PELAJARAN                      Sekolah Rendah
            vii.        UEM                                                                Kolej Matrikulasi


            Soalan 28 hingga 30 berdasarkan kenyataan di atas.

28.          Siapakah yang boleh memohon pengambilan tanah di bawah seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960

A.         i, ii dan iii sahaja
B.         ii, iii dan iv sahaja
C.        iii, iv, v dan vi sahaja
D.        vi sahaja





29.          Siapakah yang boleh memohon pengambilan tanah di bawah seksyen 3(1)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960

A.         i sahaja
B.         i dan vii sahaja
C.        i , ii dan vii sahaja
D.        i, ii, iii dan vii sahaja


30.          Siapakah yang boleh memohon pengambilan tanah di bawah seksyen 3(1)(c) Akta Pengambilan Tanah 1960

A.         i sahaja
B.         ii sahaja
D.        i, ii dan vii sahaja
D.        semua jawapan di atas tidak berkaitan


31.          Sekiranya hanya sebahagian sahaja bangunan terlibat dengan pengambilan dan tuan punya bangunan memohon supaya keseluruhan bangunan tersebut diambil, apakah tindakan yang boleh diambil oleh Pentadbir Tanah?
A.        Ambil keseluruhan bangunan
B.         Ambil sebahagian
C.        Terpulang kepada Pentadbir Tanah
D.        Tidak berkaitan


32.          Notis Awam atau Notis Umum juga dikenali sebagai...
A.        Notis Borang A
B.         Notis Borang B
C.        Notis Borang C
D.        Notis Borang F
33.          Menurut seksyen 35 Akta Pengambilan Tanah 1960, penarikan daripada pengambilan boleh dibuat dengan syarat …

A.            pewartaan seksyen 8 belum dibuat
B.            Borang E belum ditampal
C.           Borang E belum diserah kepada penduduk
D.           Borang K belum diserah kepada penduduk atau tuan tanah


34.          Manakah di bawah ini merupakan perkara-perkara yang mesti {shall} dilakukan apabila penarikan daripada pangambilan berlaku
                  I.            pewartaan penarikan
                II.            siasatan untuk menentukan amaun pampasan kerana kerosakan jika ada
               III.            membuat catatan mengenai penarikan balik dalam dokumen hakmilik daftar komputer
              IV.            penandaan

A.            i sahaja
B.            i dan ii sahaja
C.           i, ii dan iii sahaja
D.           iv sahaja


35.          Tuan tanah tidak boleh membuat bantahan ke Mahkamah dalam keadaan berikut

A.        Jumlah pampasan apa-apa kepentingan tidak melebihi RM3,000.00
B.         Jumlah pampasan mana-mana tanah melebihi RM3,000.00
C.        Jumlah pampasan mana-mana tanah melebihi RM15,000.00
D.        Tuan tanah memerima pampasan yang diaward


36.          En. Hamidon tuan punya tanah tidak hadir pada masa siasatan pengambilan dijalankan kerana beliau tidak mendapat notis Borang E, tetapi beliau diberi Borang H apabila alamatnya dapat dikesan. Seterusnya beliau ingin membuat bantahan ke Mahkamah mengikut seksyen 37 Akta Pengambilan Tanah 1960 kerana tidak bersetuju dengan award (perintah) yang dibuat. Tempoh beliau membuat bantahan ialah ………………….

a.         6 bulan dari tarikh award
b.         6 minggu dari tarikh award
c.         6 minggu dari tarikh terima Borang H
d.         6 minggu dari tarikh Borang H

37.          Mengikut seksyen 7 Akta Pengambilan Tanah 1960, DUA perkara hendaklah {shall} disedia dan dikemukakan oleh Pentadbir Tanah kepada Pihak berkuasa Negeri untuk kelulusan pengambilan tanah
                  I.        pelan tanah-tanah yang terlibat
                II.        senarai tanah terlibat di dalam Borang C
               III.        lapuran teknikal
              IV.        Borang D
a.        i dan ii sahaja
b.        ii dan iii sahaja
c.        iii dan iv sahaja
d.        Tiada yang berkaitan

38.          Mengikut seksyen 16 Akta Pengambilan Tanah 1960, setelah Pentadbir Tanah membuat perintah di bawah seksyen 14, Pentadbir Tanah hendaklah {shall} menyedia dan menyampaikan ………………. kepada orang berkepentingan.
a.         Borang G
b.         Borang H
c.         Borang K
d.         Bayaran pampasan
39.          Mana satu yang tiada kaitan dengan pewartaan di bawah seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960
a.         Tujuan warta untuk kajian kesesuaian tanah
b.         Kuatkuasa warta adalah 12 bulan dari tarikh warta
c.         Apabila warta disiarkan, tanah pasti akan diambil
d.         Jika kajian belum selesai, warta boleh dilanjutkan


40.          ‘Orang berkepentingan’ mempunyai suatu jangkamasa yang dibenarkan oleh Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk membuat bantahan ke Mahkamah. Jika jangkamasa tersebut luput, siapakah yang boleh membenarkan perlanjutan tempoh jika orang berkepentingan masih ingin meneruskan bantahannya?
a.    Mahkamah
b.    Mahkamah Tinggi
c.    Pihak Berkuasa Negeri
d.    Pengarah Negeri