Wednesday 18 January 2012

Pengambilan Tanah dari Perspektif Islam

Islam menekankan pengurusan yang baik terhadap tanah. Ini adalah kerana tanah merupakan satu sumber kekayaan di muka bumi ini. Islam juga menekankan bahawa tanah merupakan hakmilik hakikiNya dan mengiktiraf manusia perlu mengurusnya dengan adil dan saksama. Konsep khalifah di dalam pentadbiran tanah mengikut Islam merujuk kepada Raja atau Pemerintah di sesebuah negeri tersebut. Seterusnya kuasa ini dideligasikan kepada pegawai-pegawai yang dilantik dalam pentadbiran tanah.
Juga tidak dinafikan, pengurusan tanah mengikut sistem Islam terbukti baik dan berkesan. Berpandukan dari sistem inilah,  Rasulullah dan dan para Khulafa’ al-Rasyidin menguruskan tanah-tanah di bawah pemerintahan mereka yang begitu luas. Dianggarkan 6,000,000 ekar merangkumi Palestin,  Iraq, Parsi, Arminia dan Mesir dengan rakyat yang pelbagai agama, budaya dan latarbelakang. Jika tidak berpandukan dengan sistem yang cekap dan berkesan (hukum Allah s.wt.), undang-undang, peraturan ciptaan manusia dikuatiri akan dilanggar oleh manusia itu sendiri  dan seterusnya mewujudkan sistem pentadbiran tanah yang lemah, tidak diyakini dan wujud penindasan.
Tanah juga merupakan sumber rezeki yang utama kepada manusia. Konsep pemilikan tanah di dalam Islam merupakan satu konsep pengagihan kekayaan kepada masyakat. Masyarakat boleh memajukan tanah untuk menyara kehidupan di samping mengumpul kekayaan. Hak dan milikan tanah diiktiraf oleh Islam bagi menjaga kemaslahatan ummah dari segi keadilan sejagat. Namun begitu, hak dan milikan yang digariskan oleh Islam terbatas setakat tanah tersebut dimajukan. Islam juga membenarkan pemerintah/kerajaan membatalkan pemilikan sesuatu tanah yang diberimilik kerana tidak dimajukan/diusahakan selama 3 tahun berturut-turut. Ini berdasarkan contoh pembatalan hakmilik oleh Syaidina Umar kepada pemilik-pemilik tanah di Mazinah dan di Jahinah yang tidak usahakan walaupun tanah tersebut diberimilik oleh Rasulullah s.a.w. Namun begitu, pembatalan hakmilik akibat tidak diusahakan ini tidak terpakai bagi tanah yang diperolehi dengan pembelian.
Islam menekankan bahawa pembatalan hakmilik tanah hanya boleh berlaku  jika ianya tidak diusahakan, tanah mereka di lelong bagi meyelesaikan hutang dan pembelian secara syuf ah (pre-emption). Ini sebagai mengiktiraf harta seseorang itu sebagai mutlak milik mereka disisi Allah s.w.t. Namun begitu , Islam membenarkan pengambilan balik tanah yang bertujuan untuk kepentingan awam. Kepentingan awam bermaksud kepentingan dunia dan akhirat, mencakupi kepentingan orang awam (bukan kepentingan seseorang individu dan golongan tertentu) dan bukan kepentingan kebendaan atau kepentingan dunia semata-mata.
Di dalam Persidangan Majmu’ al-Fiqh al-Islami, 1988 di Makkah telah memutuskan syarat-syarat kerajaan boleh menarik balik tanah untuk tujuan kemaslahatan awam yang menepati hukum syarak ialah:
i)          Keadilan dan persamaan dalam menentukan nilai pampasan terhadap pemilik-pemilik tanah tanpa ada perbezaan antara mereka. .Penilaian pampasan ada dua peringkat iaitu;
a)         tawar menawar dengan tuan tanah yang akan diambil dan kemudiannya menetapkan harganya;
b)         penilaian yang adil dalam keadaan tuanpunya tanah enggan menetapkan harganya. Ini bermaksud nilaian yang yang dilaksanakan oleh pakar hartanah (ahl al-Khibrah), supaya prinsip keadilan dan persamaan terhadap tuantanah adalah terpelihara dan terjamin.
ii)         Nilai pasaran; iaitu nilai semasa (thaman al-Mithli) terhadap tanah yang akan diambil hendaklah diambil kira dalam menentukan bayaran pampasan. Yang ditentukan itu hendaklah tidak kurang dari harga pasaran.
iii)        Menyegerakan bayaran pampasan, yang menegaskan bahawa pemerintah perlu membayar dengan segera kepada tuan tanah yang terbabit, kecuali jika ia bersetuju untuk menangguhkan penerimaan bayaran pampasan itu. Perkara ini sama seperti kes jualbeli di mana harta yang dibeli tidak boleh diambil selagi ianya tidak dibayar.
iv)        Rujukan ke mahkamah, iaitu tuan punya tanah dibenarkan untuk merujuk ke mahkamah tentang kadar dan nilai pampasan. Dan ada juga pendapat mengatakan tuan tanah berhak untuk merujuk ke mahkamah dari segi tujuan pengambilan itu samada ianya menepati kepentingan awam atau sebaliknya.Pengambilan balik tanah juga dilarang bagi maksud pelaburan samada untuk orang ramai atau pun individu.
v)         Tidak boleh mengambil balik tanah sebelum sampai tempoh yang betul-betul diperlukan bagi sesuatu tanah tersebut. Ini bagi mengelakkan pembaziran dan penafian hak rakyat tanpa tujuan yang nyata.
Persidangan Majmu’ al-Fiqh al-Islami juga memutuskan bahawa penarikan balik tanah yang tidak menepati syarat-syarat di atas adalah penarikan balik yang zalim dan ditegah oleh syarak. Oleh yang demikian, Akta Pengambilan Tanah merupakan satu-satunya akta yang digubal bagi mengambil balik tanah bagi kepentingan awam di negara ini dengan pampasan yang adil kepada tuan punya tanah yang terlibat. Namun terdapat beberapa perbezaan diantaranya ialah dari segi kaedah penentuan pampasan dan hak tuan punya tanah untuk merujuk ke mahkamah dalam menentukan kadar/nilai pampasan atau tujuan pengambilan itu sama ada menepati kepentingan awam ( maslahah’ ammah) atau sebaliknya.