Sunday 2 October 2011

Hakmilik-Hakmilik Sebelum KTN 1965

1.       Cerificate Of Title
          Ianya merupakan hakmilik yang dikeluarkan di bawah Federated Malay State Land Code (Cap.138) sebelum Kanun Tanah Negara dikuatkuasakan. FMS Land Code ini dikuatkuasakan di empat buah negeri iaitu Selangor, N.sembilan, Pahang dan Perak dimana digabungkan dibawah entity Negeri Melayu Bersekutu oleh Pihak Inggeris ( atas persetujuan Sultan dinegeri-negeri tersebut).
          Certificate Of Title merupakan hakmilik kekal (in perpetuity) dan dikeluarkan oleh Registrar Office (Pejabat Pendaftar). Jenis-jenis tanah yang dikeluarkan CT ketika itu adalah tanah-tanah yang berskala besar seperti tanah-tanah ladang atau pertanian , tanah di dalam kawasan  Bandar atau pekan.
          Menurut Seksyen 160 KTN, hakmilik ini masih lagi berkuatkuasa selepas kuatkuasanya KTN pada 1 Januari 1966. Hakmilik ini ditukar/disambung kepada Geran Negeri (Borang 5B) di bawah KTN.

2.       Malay Grant
          Malay Grant ataupun Geran Melayu ialah satu hakmilik yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah kepada orang-orang Melayu bagi tujuan pertanian atau kediaman di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dalam bentuk selama-lamanya (in perpetuity). Negeri Melayu Tidak Bersekutu adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Johor. Hakmilik ini berdasarkan Enakmen Rizab Melayu negeri berkenaan iaitu:
i)       ERM Kelantan 1930
ii)      ERM Kedah              1931
iii)     ERM Perlis               1935
iv)      ERM Johor               1936
v)       ERM Terengganu      1941
          Sebagi contoh di Terengganu mengikut ERM 1941 tersebut, mana-mana tanah Pertanian hakmilik Pejabat Tanah yang kurang dari 10 ekar (0.4 hektar) perlu didaftarkan sebagai pegangan Melayu. Sehubungan dengan itu, selepas kuatkuasanya KTN pada 1966, hakmilik-hakmilik ini ditukar/disambungkan kepada Geran Mukim (Borang 5D).


3.       Malay Lease
          Manakala Malay Lease atau Pajakan Melayu adalah hakmilik pajakan yang dikeluarkan kepada orang-orang Melayu bagi tanah-tanah pertanian yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dalam satu tempoh (for a term of years) yang bersesuaian mengikut Enakmen negeri-negeri tersebut. Sehubungan dengan itu juga, selepas kuatkuasanya KTN, hakmilik-hakmilik ini disambung kepada Pajakan Mukim (Borang 5E).

3.       Agriculture Lease
          Juga disebut sebagai Lease For Agriculture Land  ataupun Pajakan Tanah Pertanian yang dikeluarkan sebelum KTN. Hakmilik ini dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar atau PTG di negeri Selangor, Perak, N.Sembilan dan Pahang di bawah Federated Malay State Land Code (Cap.138). Hakmilik ini adalah hakmilik bertempoh (for a term of years)dan dikeluarkan bagi maksud pertanian di dalam kawasan tanah desa. Sehubungan dengan itu juga, selepas kuatkuasanya KTN, hakmilik-hakmilik ini disambung kepada Pajakan Mukim (Borang 5E).

4.       Mining Lease
          Dikenali juga sebagai Sijil Pajakan Melombong. Ianya seolah-olah satu hakmilik dan hanya digunakan bagi tujuan Pihak Berkuasa Negeri memajakkan sebidang tanah bagi tujuan melombong sahaja dalam sesuatu tempoh yang ditetapkan di dalam sijil tersebut. Mining Lease ini dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar negeri-negeri bagi maksud membenarkan (melalui sijil ini) kegunaan tanah bagi maksud melombong sahaja. Keluasan tanah akan disukat dan dinyatakan didalam sijil tersebut disamping nama tuanpunya pajakan, tarikh tamat tempoh,syarat-syarat yang ditetapkan dan laian-lain. Sebelum tahun 1989 Sijil Pajakan Melombong dikeluarkan PTG negeri menggunakan kuasa di bawah Enakmen Perlombongan Negeri-Negeri. Namun begitu selepas 1989 enakmen berkenaan ditukar kepada Enakmen Mineral Negeri-Negeri. Perlu dinyatakan disini, kawalan aktiviti perlombongan adalah di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 yang dikuatkuasakan oleh Persekutuan melalui Jabatan Mineral Dan Geosains.
          Pajakan Melombong ini masih berkuatkuasa  sehingga tarikh yang dinyatakan di dalam sijil tersebut. Namun begitu, KTN membenarkan pengeluaran Lesen Pendudukan Sementara dan Permit Bahan Batuan diatas tanah Pajakan Melombong ini kepada mana-mana orang/badan dengan syarat tanah tersebut tidak digunakan lagi bagi maksud melombong, telah mendapat persetujuan pemegang Pajakan Melombong dan kelulusan Jabatan Mineral Dan Geosains Negeri.

5.       Entry Mukim Register
          Dikenali juga sebagai Daftar Keterangan Mukim di mana yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Selangor, Perak, Pahang dan N.Sembilan melalui FMS Land Code (Cap.138). Tempoh pegangan hakmilik adalah selama-lamanya (in perpetuity) dan dikeluarkan bagi tanah desa kurang dari 0.4 hektar (10 ekar) bagi maksud pertanian.
          Setelah KTN dikuatkuasakan pada 1 Januari 1966 mana-mana hakmilik EMR disambungkan kepada Geran Mukim iaitu Borang 5D KTN.

6.       Approved Occupation For Land
          Approved Occupation ini bukanlah satu hakmilik tetapi satu daftaran kelulusan menduduki sesuatu tanah yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Selangor, Perak, Pahang dan N.Sembilan melalui FMS Land Code (Cap.138). Dalam kata lain A.O adalah satu daftaran dengan harapan mendapat hakmilik. Daftar A.O adalah rekod yang antaranya menunjukkan perkara-perkara berikut:
i)             nama pemohon yang diluluskan
ii)           butir-butir tanah yang diluluskan (tempat dan keluasan)
iii)         syarat-syarat kelulusan – kadar cukai, premium, bayaran ukur yang sepatutnya dijelaskan, syarat dan sekatan kepentingan.
iv)          Bayaran pemberimilikan (cukai, premium, bayaran ukur, bayaran pendaftaran hakmilik) yang dijelaskan
v)            Tarikh permohonan diluluskan dan ditempatkan ke tanah itu
vi)          Catitan yang menyatakan bahawa Jabatan Ukur telah diminta mengukur tanah tersebut.
Daftar A.O telah diselenggarakan dibawah kaedah-kaedah yang dibuat dibawah undang-undang tanah terdahulu. Dimana ianya bagi tujuan penempatan (kediaman). Manakala tanah-tanah A.A (Approved Application) bagi tanah-tanah pertanian.
          Di bawah A.O, orang-orang yang nama mereka didaftarkan mempunyai hak supaya hakmilik didaftarkan sebaik sahaja tanah diukur dan hakmilik tetap perlulah dikeluarkan. Perlu diingat bahawa dibawah A.O tanah tidak boleh dipindahmilik, digadaikan, dipajak mahupun urusan-urusan lain.
          Sehubungan dengan itu, setelah KTN dikuatkuasakan tanah-tanah A.O akan didaftarkan kepada Geran Mukim (Borang 5D KTN).

7.       Surat Sementara
          Ianya dikenali sebagai Bentuk Daftar Sementara iaitu ’Interim Register’ (IR). Digunapakai di negeri-negeri selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka sebelum wujudnya Kanun Tanah Negara di bawah Surat Ikatan Inggeris ataupun ”Deeds System” yang diperkenalkan oleh Pihak Inggeris di mana berdasarkan ”property and conveyancing” iaitu undang-undang equity.
IR dibuat daripada hasil cabutan Daftar Penyelesaian ataupun lebih dikenali sebagai ’Settlement Register’ (SR). Ia kemudiannya akan dibukukan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG). Segala urusan berkenaan dengan tanah seperti pindahmilik, gadaian, kaveat akan diandoskan didalam IR. Nombor Pegangan atau lebih dikenali sebagai ’Holding Number’ adalah merupakan no lot bagi pegangan berkenaan. 
Setelah wujudnya Kanun Tanah Negara 1965, IR perlu ditukarkan kepada pegangan hakmilik. Ianya dibuat dengan dua cara samada dipohon oleh tuan tanah sendiri ataupun Pesuruhjaya Hakmilik Tanah yang akan memutuskan bahawa pemilikan itu tidak boleh disangkal berlandaskan Akta Kanun Tanah Negara (Hakmilik Melaka dan Pulau Pinang) 1963. Keputusan itu boleh dibuat dengan adanya nama tuan tanah terakhir didalam IR tersebut. Namun, dalam beberapa kes, ada juga nama tuan tanah yang tidak terang dan memerlukan siasatan untuk menentukan siapa tuan punya tanah berkenaan. Ianya boleh dilakukan dengan melihat kembali urusan-urusan yang telah dilakukan sebelum itu contohnya dari Surat Cara, Perletakan Hak atau Pemindahan Hak.
Pada 01/04/2001 sistem SPTB diperkenalkan, hakmilik gantian telah dibuat untuk penyelarasan pegangan hakmilik. Pejabat Tanah Daerah akan menghantar Lampiran ’A’ yang mengandungi maklumat tanah yang diambil dari IR beserta pelan (yang telah disediakan oleh pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan) kepada Pejabat Tanah dan Galian untuk dimasukkan kedalam sistem SPTB. Bagi hakmilik Pejabat Pendaftar, pelan untuk menyediakan pegangan hakmilik dipohon sendiri oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian kepada pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan.

1 comment:

  1. Casino and RV Park - RYRO
    Visit the 군포 출장안마 racetrack located on 상주 출장샵 RYRO's RYRO Parkway in RYRO, 동해 출장마사지 Indiana and enjoy a wide variety 용인 출장샵 of live entertainment. 김천 출장마사지

    ReplyDelete