Wednesday, 6 March 2013

Penamatan Hakmilik Tanah

Pemilikan terhadap sesuatu tanah dijamin dengan jelasnya dibawah Kanun Tanah Negara 1965. Pemilikan tanah diiktiraf melalui pendaftaran hakmilik yang mewujudkan hakmilik tidak boleh disangkal dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Pendaftaran hakmilik ini adalah untuk membezakan diantara tanah hakmilik dan tanah kerajaan. Ini adalah kerana sehingga pendaftaran hakmilik dilakukan, tanah tersebut adalah masih kekal menjadi tanah kerajaan[1]. Dokumen hakmilik yang dikeluarkan oleh PBN adalah dokumen yang membuktikan bahawa seseorang atau badan mempunyai pemunyaan yang sah dan muktamad bagi tanah itu[2]. Sehubungan dengan itu, pendaftaran sesuatu hakmilik melengkapkan sesuatu proses pemberimilikan tanah oleh kerajaan. Merujuk kepada kes North East Plantations Sdn.Bhd. melawan Pentadbir Tanah Dungun[3], mahkamah rayuan memutuskan plaintif yang telah mengusahakan tanah setelah mendapat kelulusan pemberimilikan tanah secara formal dari kerajaan negeri dan telah pun membayaran Notis 5A, namun berimilikan tersebut masih boleh dibatalkan. Bersandarkan keputusan  Mahkamah  Rayuan yang bersandarkan kepada Seksyen 78(3) KTN 1965 di mana ianya masih lagi tanah kerajaan dan Seksyen 81(2) dan 80(3) KTN 1965 pembayaran Notis 5A tidak boleh mengenepikan kuasa PBN yang tersirat di dalam peruntukan Seksyen 78(3) KTN 1965[4].
Apabila dokumen hakmilik sempurna didaftarkan dan mulai tarikh tersebut hak tuan tanah adalah tertakluk kepada peruntukan KTN 1965 yang memberi keeksklusifan pemilikan yang tidak boleh disangkal[5]. Secara amnya, pemilik tanah adalah dijamin penggunaan tanah secara optimum, hak pengantungan atas tanah dari tanah-tanah bersebelahan dan hak akses ke tepi pantai, mana-mana sungai dan tempat awam yang bersempadanan dengan tanah rizab atau tanah kerajaan. Selain daripada itu, hak-hak tuan tanah dijamin bagi membangunkan tanah, hak untuk berurusniaga dan hak penurunan harta (tanah) melalui wasiat[6]. Segala urusan berkaitan hakmilik ini perlulah mengikut prinsip Sistem Torrens yang secara tegasnya memperuntukkan bahawa setiap urusan mestilah didaftarkan melalui suratcara (borang) yang ditentukan dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Apabila ia didaftarkan secara sah, maka pemilik tanah mempunyai hakmilik yang tidak boleh disangkal[7].
Hak dan kuasa tuan tanah yang tidak boleh dipertikaikan boleh ditamatkan,  kemuktamadan hakmilik boleh dileraikan dan ketidakboleh sangkalan hakmilik boleh disangkal dalam pelbagai keadaan dan kuasa tertentu. Artikel ini bagi menggabungkan dalam keadaan mana hakmilik yang tidak boleh disangkal dan muktamad boleh dibatalkan setelah hakmilik didaftarkan.  Secara umumnya penamatan pemilikan tanah boleh berlaku melalui 2 cara iaitu melalui kuasa Pihak Berkuasa Negeri dan bidang kuasa mahkamah.
i)                    Kuasa Pihak Berkuasa Negeri
Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa mentadbir urusan berkaitan dengan tanah secara mutlak di bawah Perlembagaan Persekutuan.  Walaupun tanah telah diberimilik secara sah kepada individu atau badan, masih terdapat ruang yang membolehkan PBN bertindak mengatasi kemuktamadan hakmilik tersebut. Tanah berimilik boleh kembali dan terletak hak kepada Pihak Berkuasa Negeri dalam keadaan seperti berikut;
a)      Tamat tempoh pajakan
PBN mempunyai kuasa  memberimilik tanah kerajaan kepada mana-mana orang atau badan samada untuk selama-lamanya ataupun sesuatu tempoh tidak melebihi 99 tahun[8]. Bagi tanah berimilik berstatus pajakan ianya akan tamat tempoh sepertimana yang dinyatakan di dalam hakmilik dan ianya akan kembali kepada Pihak Berkuasa Negeri. Setelah hakmilik didaftarkan tiada peruntukkan yang dinyatakan oleh KTN 1965 memberi kuasa kepada  PBN melanjutkan tempoh pajakan bagi sesuatu tanah. Kuasa PBN menentukan tempoh pajakan hanya diberikuasa semasa penentuan dalam kelulusan pemberimilikan[9]. Namun begitu, dengan keperihatinan PBN, perlanjutan tempoh pajakan boleh dilakukan dengan penyerahan balik tanah tersebut menurut Seksyen 197 KTN 1965 dan dipohon semula oleh pemilik asal[10].

b)      Kegagalan melunaskan bayaran cukai tahunan
Setiap tanah berimilik akan dikenakan bayaran cukai setiap tahun yang dianggap berhutang kepada Pihak Berkuasa Negeri[11]. Kegagalan melunaskan bayaran cukai tahunan tanah yang ditetapkan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mei  setiap tahun (kecuali di Kelantan) adalah dianggap tertunggak pada hari pertama bulan Jun tahun tersebut[12]. PBN boleh menuntut tunggakan ini melalui  Notis 6A KTN 1965 dan bayaran perlulah dibuat dalam tempoh 3 bulan dari tarikh notis disampaikan kepada pemilik tanah. Kegagalan menjelaskan tunggakan ini boleh menyebabkan perintah[13] dan pengistiharan[14] perampasan tanah kembali kepada Pihak Berkuasa Negeri.

c)       Perlanggaran syarat kegunaan tanah
Jenis kegunaan tanah berimilik dikawal oleh PBN melalui Kategori dan Syarat Nyata yang dinyatakan di dalam hakmillik dimana pelanggaran salah satu darinya merupakan satu kesalahan menurut KTN.  Setiap kategori kegunaan tanah dikawal secara halus dibawah syarat tersirat yang tidak dinyatakan didalam hakmilik[15] namun ianya mengikat setiap kategori kegunaan tanah. Syarat ini menghendaki perlaksanaan berterusan dan mula mengikat tanah pada tarikh ianya didaftarkan tertakluk kepada sesuatu kategori atau sesuatu syarat. Kegagalan pemilik tanah mematuhi syarat kegunaan tanah akan menyebabkan perkembalian tanah kepada PBN[16] melalui proses perampasan kerana perlanggaran syarat[17].



d)      Kematian pemilik tanah tanpa waris
Pihak Berkuasa Negeri boleh mengambil milikan sesuatu tanah apabila ianya ditinggalkan akibat kematian pemilik tanah tanpa waris[18]. Tindakan pengembalian tanah ini memerlukan satu siasatan terperinci dan menyeluruh oleh Pentadbir Tanah di bawah Bab 4, Bahagian 2 KTN 1965. Di dalam siasatan Pentadbir Tanah perlu memastikan bahawa tanah itu mesti mempunyai seorang pemilik berdaftar sahaja dan telah sah mati, tiada permohonan probet dan surat mentadbir pusaka dipohon dimahkamah  atau  permohonan pembahagian pusaka pernah dibuat kepada Pentadbir Tanah. Selain daripada itu, tiada orang yang menduduki tanah berkenaan[19]. Notis perkembalian tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri melalui Notis 23A KTN 1965 dan dicataterakan didalam hakmilik setelah Pentadbir Tanah berpuas hati tiada apa-apa tuntutan dibuat oleh mana-mana pihak.

e)      Tuan punya tanah meninggalkan hakmilik
Mana-mana Pentadbir Tanah berpuas hati bahawa tuanpunya mana-mana tanah yang dipegang di bawah hakmilik Pejabat Tanah telah tidak menduduki tanah itu dan buat 7 tahun lampau tidak pernah melakukan apa-apa perbuatan atau benda yang membuktikan hakmiliknya, boleh membuat catitan di atas dokumen hakmilik daftaran yang menyatakan tuanpunya telah meninggalkan hakmilik tanah itu[20]. Pengisytiharan melalui warta dalam Notis Borang 23B KTN perlu dibuat dan jika tiada apa apa kehendak-kehendak notis itu dipenuhi maka tanah itu kembali kepada Pihak Berkuasa Negeri[21].

f)       Tanah menjadi dasar laut atau sungai
Jika pinggir laut atau dasar mana-mana sungai mara sehingga mengaut mana-mana tanah berimilik, kawasan yang terlibat oleh perkautan itu hendaklah pada ketika itu terhenti dari menjadi sebahagian dari tanah itu dan menjadi tanah kerajaan[22]. Pendaftar atau Pentadbir Tanah perlu mengenal pasti tanah yang terhakis dan menyelenggara buku rekod tanah-tanah berkenaan[23]. Secara amnya, tindakan perkembalian ini bermula dari siasatan terperinci oleh Penolong Pegawai Tanah kepada tanah terlibat. Jika hakisan melibatkan kesemua tanah, Pendaftar atau Pentadbir Tanah boleh membatalkan hakmilik bagi tanah berkenaan[24].  Apabila sebahagian tanah sahaja yang terhakis, Pendaftar atau Pentadbir Tanah bolehlah mengukur semula bahagian tanah yang tinggal[25]dan mendaftarkan hakmilik sambungan bagi tanah berkenaan.

g)      Pengambilan balik tanah
PBN mempunyai kuasa yang mengatasi mana-mana pemilikan tanah sepertimana diperuntukan di dalam Akta Pengambilan Tanah 1960. Kuasa pengambilan tanah ini merangkumi mana-mana tanah milik di dalam sempadan negeri itu. Tujuan pengambilan tanah menjangkaui pelbagai tujuan yang dinyatakan di dalam Seksyen 3 Akta ini yang tidak boleh dipertikaikan oleh pemilik tanah atau orang berkepentingan. Namun demikian PBN bertanggungjawab untuk membayar pampasan setimpal wang wajar akibat pengambilan ini. Oleh kerana kuasa dibawah akta ini, impian mengurusniaga, membangun, memiliki dan mewarisi sesuatu tanah oleh mana-mana pemilik tanah[26] hanya tinggal impian.

                Walaupun kuasa pentadbiran tanah merupakan hak ekslusif PBN yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara 1965,  tindakan pelucutan hak melalui perkara-perkara di atas masih lagi dicabar atau dipertikaikan oleh oleh tuanpunya tanah yang terkilan ke mahkamah berdasarkan Seksyen 418 KTN 1965 bagi mendapat keadilan. Oleh yang demikian, segala tindakan dan prosedur bagi menamatkan hakmilik oleh PBN perlulah berlandaskan tatacara dan prosedur yang betul dan sejajar dengan peruntukan undang-undang. Kegagalan atau kecuaian dalam perlaksanaan prosedur dan tatacara ini mengakibatkan penamatan hakmilik boleh menjadi tidak sah.







[1] Seksyen 78(3) Kanun Tanah Negara 1965.
[2] Seksyen 89  kanun tanah Negara 1965
[3] Kes North East Plantations Sdn.Bhd. vs Pentadbir Tanah Dungun, (2011)2 CLJ 392
[4] Rujukan kes Dr.Ti Seow Tiew and Ords. Vs Pendaftar Geran-Geran Tanah Negeri Selangor (1981)CLJ134 dan   Muhamad Buyong Vs Pemungut Hasil Tanah Gombak and Odrs. (1982)MLJ53.
[5] Seksyen 44 Kanun Tanah Negara 1965
[6] Seksyen 92 Kanun tanah Negara 1965
[7] Seksyen 206, 340 (1) Kanun Tanah Negara 1965
[8] Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965
[9] Seksyen 79(2) Kanun Tanah Negara
[10] Pekeliling JKPTG Bil.4/2008.
[11] Seksyen 93 Kanun Tanah Negara 1965
[12] Seksyen 94(2) Kanun Tanah Negara 1965
[13] Seksyen 100 Kanun Tanah Negara 1965
[14] Seksyen 130 Kanun Tanah Negara 1965
[15] Seksyen 115,116,117 Kanun Tanah Negara 1965
[16] Seksyen 129,130 Kanun Tanah Negara 1965
[17] Seksyen 129 Kanun Tanah Negara
[18] Seksyen 351 Kanun Tanah Negara 1965
[19] Pekeliling JKPTG Bil.30/1977
[20] Seksyen 352 Kanun Tanah Negara 1965
[21] Seksyen 352(6) kanun tanah Negara 1965
[22] Seksyen 49 Kanun Tanah Negara 1965
[23] Pekeliling JKPTG Bil.3/2008
[24] Seksyen 382A Kanun Tanah Negara 1965
[25] Seksyen 353 Kanun Tanah Negara 1965
[26] Seksyen 92 Kanun Tanah Negara 1965

Tuesday, 23 October 2012

SEMINAR SEHARI PENGAMBILAN TANAH 2012 ANJURAN KELAB INSTUN

Mungkin anda terlibat dengan proses pengambilan di peringkat kementerian/jabatan/agensi kerjaan?
Mungkin tanah anda terlibat dengan pengambilan tanah?
Mungkin syarikat anda mempunyai hasrat untuk mendapatkan tanah?
dan, anda terlalu sibuk untuk berkursus panjang dan memerlukan short course?
Seminar yang amat baik bagi mereka yang inginkan maklumat terkini isu dan masalah pengambilan tanah di Malaysia.
Penceramah dikalangan mereka yang terlibat secara langsung dengan proses pengambilan tanah dan tenaga pengajar yang berpengalaman di INSTUN.
Sesi pembentangan kertas kerja menjurus kepada isu&masalah dan kes-kes terkini dalam pengambilan tanah serta sesi perbincangan/soal jawab di akhir setiap sesi.

Seminar tahunan ini kebiasaannya mendapat sambutan amat menggalakan dan tempat adalah terhad.

Wednesday, 17 October 2012

Permasalahan: Kerugian tuan tanah akibat pengukuran semula sempadan semulajadi (my point of view)

Persoalan adalah berkaitan kerugian yang dialaminya akibat dari pengukuran semula sempadan semulajadi yang menyebabkan tuan tanah  kehilangan sebahagian  tanah  berdasarkan garis terabas yang diukur semula.
Menurut seksyen 353 KTN, Pengarah Ukur Negeri perlu menentukan garis sempadan semulajadi mana-mana lot tanah yang bersempadanan dengan pantai, sungai dan lain-lain setelah diarahkan oleh Pengarah Tanah Dan Galian Negeri.  Tanah-tanah ini adalah diberimilik sebelum kuatkuasanya KTN pada 1966 dimana undang-undang tanah dahulu mengiktiraf tanah-tanah yang sempadannya berdasarkan sempadan semulajadi.
Oleh itu, Pengarah Ukur akan membuat pengukuran berdasarkan garisan terabas yang ditentukan bersesuaian dengan sempadan laut tersebut. Menurut, Peraturan Pengukuran kadaster 2002, Peraturan 34, menyatakan garisan terabas perlulah seberapa hampir dengan garisan sempadan semulajadi tersebut, Seterusnya mengeluarkan P.A bagi tindakan Pengarah Negeri.
Pengarah Negeri perlu menghantar notis kepada pemilik tanah dan orang-orang lain yang ada kepentingan berdaftar ke atas tanah tersebut menyatakan garis sempadan yang ditentukan bersama pelan. Tuan Tanah boleh membuat bantahan iaitu 6 bulan dari tarikh notis tersebut diserahkan kepadanya. Pengarah Negeri mempunyai kuasa untuk menolak atau menerima bantahan Ali dengan memohon untuk diukur semula sempadan berkenaan.
Kesimpulannya , sebagai pemilik tanah yang mempunyai hakmilik tidak boleh disangkal, boleh mengekalkan keluasan tanahnya dimana memohon kepada Pengarah Negeri mengukur semula tanahnya berdasarkan garisan asal pantai. Jika penebusan guna tanah yang dibuat oleh agensi kerajaan melangkaui ke tanah Tuan Tanah (setelah Tuan Tanah memastikan sempadan sebenarnya dengan ukuran semula), adalah menjadi kewajiban agensi tersebut membayar gantirugi.
Namun begitu, jika tanah beliau telahpun menjadi dasar laut akibat dari kemaraan laut, ini akan menyebabkan kekurangan keluasan tanah beliau. Mengikut seksyen 49 KTN, mana-mana tanah yang menjadi dasar laut atau sungai, tanah tersebut akan kembali semula kepada PBN. Selain dari itu, penentuan garis terabas yang dibuat adalah munasabah sehampir dengan garisan pantai dan menyebabkan kekurangan keluasan, oleh yang demikian juga  akan menyebabkan Ali tiada hak untuk mendapat gantirugi keatas kekurangan keluasan tanah beliau. Penafian hak tersebut wajib melalui pengwartaan dan pengukuran semula seterusnya hakmilik sambungan didaftarkan oleh Pentadbir Tanah.

Permasalahan : Punca Kesilapan tertukar No.Lot dalam penukaran QT-FT ( my point of view)

        No.lot yang berlainan dengan suratan hakmilik sementara boleh berlaku didalam proses penukaran QT ke FT di atas beberapa sebab. Namun begitu di dalam persoalan ini ada kemungkinan besar berlaku kesilapan di Pejabat Tanah diperingkat Permohonan Ukur.
Permohonan ukur adalah satu keperluan utama bagi Pejabat Tanah untuk mengeluarkan hakmilik tetap bagi menukarkan hakmilik sementara kepada hakmilik tetap. Jabatan Ukur akan menjalankan pengukuran halus dan memberikan nombor lot bagi menukarkan nombor PT sementara yang diberi oleh Pejabat Tanah pada tanah tersebut. Kemungkinan berlakunya tertukar no.lot yang diberi oleh Jabatan Ukur dan nombor Hakmilik Sementara adalah disebabkan permohonann ukur yang dibuat secara pukal atau dalam kuantiti yang banyak seperti tanah-tanah kampong tersusun dan pemberimilikan berkelompok.
Kesilapan tertukarnya lot tanah dan hakmilik boleh berlaku kebiasaanya diperingkat Permohonan Ukur dimana:
i.                     Pengisian maklumat dalam Borang Permohonan Ukur.
Borang P.U merupakan satu instrumen pentadbiran yang digunakan oleh Pejabat Tanah sebagai penghubung bagi menerangkan maksud permohonan pengukuran di negeri-negeri ke Jabatan Ukur. Diperingkat ini mungkin berlakunya kesilapan mengisikan no.PT dan no.hakmilik, sebagai contoh No.PT 122 untuk hakmilik HS(M) 522 tetapi diisi silap seperti berikut No.PT 122 kepada HS(M) 523.

ii.                   Kesilapan Pelan Permohonan Ukur
Pelan permohonan ukur meupakan satu pelan yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah yang disertakan sekali bersama-sama Borang Permohonan Ukur  ke Jabatan Ukur bagi tujuan permintaan pengukuran halus. Pelan Permohonan Ukur merupakan pelan asas bagi Jabatan Ukur untuk memulakan kerja-kerja menyediakan surehan kerjaluar untuk kegunaan pegawai ukur. Pelan permohonan Ukur mestilah mempunyai butir-butir lot yang henadk diukur serta lain-lain keterangan yang berkaitan.
Ada kemungkinan berlakunya kesilapan diperingkat awal lagi di dalam Pelan di Pej.Tanah di mana Pelukis Pelan mencatitkan no.PT yang salah di atas pelan sesuatu tanah tersebut. Amalan di Pej.Tanah apa-apa pembangunan dan pemberimilikan (termasuk LPS dan Permit) diluluskan, Pelukis Pelan akan bertanggungjawab men’charting’ atau membuat penandaan/catitan di syit piawai di Pej.Tanah tersebut. Di dalam kes pemberimilikan, Pelukis Pelan perlu mencatitkan no.PT ke atas pelan tanah tersebut. Oleh itu, apabila Pelan P.U (yang salah) sampai ke Jabatan Ukur, pengawai ukur yang terlibat hanya merujuk kepada No.PT tersebut dan memberikan/menukar kepada no.lot setelah pengukuran dibuat.

iii.                  Butiran –butiran Rajah Lot yang salah.
Di dalam Permohonan Ukur, aspek terpenting adalah Rajah Permohonan Ukur dimana ianya mengandungi butiran-butiran berkenaan rajah lot yang hendak diukur oleh JUPEM. Butiran kepada rajah lot adalah mengandungi Nombor PT pada lot yang hendak diukur, keluasan, bering &jarak, garis sempadan diwarnakan dengan warna merah dan akhir sekali bering & jarak sambungan kepada lot-lot yang berkaitan.
Maka, kesilapan dalam membekalkan butiran-butiran pada rajah lot ini , seperti pelan PT yang hendak diukur digambarkan secara salah didalam butiran rajah lot yang diserahkan kepada pihak JUPEM akan member kesan kepada diakhir pengukuran dimana lot yang diukur bagi hakmilik yang lain.
Bagi mengelak perkara ini berlaku, pihak Pejabat Tanah perlu mengelakkan kesilapan-kesilapan yang seperti dinyatakan diatas. Jika berlakunya kesilapan diperingkat awal permohonan, ianya akan menjejaskan keseluruhan proses pengukuran yang akan dilakukan olleh JUPEM. Pihak JUPEM juga ada kemungkinan melakukan kesilapan seperti kesilapan dalam prosedur dan perlaksanaan kerja ukur atau kesilapan dalam butiran Arahan Ukur.

Permasalahan :Pertikaian sempadan tanah milik ( my point of view)

Kes: Pertikaian sempadan tanah antara En.Ali dan jiran bersebelahan tanah beliau dimana jiran tersebut menyatakan bahawa En.Ali telah membina rumah yang melebihi ke tanah beliau. Bagi menasihatkan En.Ali perkara-perkara dibawah perlulah dinyatakan:
Pengukuran Semula
Di dalam kes ini jika hakmilik tanah yang dipegang oleh En.Ali adalah hakmilik tetap  pengukuran semula sempadan perlu dibuat bagi memastikan takat sempadan sebenar kedua-dua tanah tersebut. En.Ali boleh melantik seorang Jurukur Berlesen (berkelayakan) bagi penentuan sempadannya berdasarkan pelan didalam hakmilik. Namun begitu, beliau juga boleh memohon bantuan kepada JUPEM bagi membuat pengukuran pengesahan sempadan dan tanda sempadan.
Jika hakmilik yang dipegang oleh En.Ali adalah hakmilik sementara, dinasihatkan En.Ali membuat pengukuran halus terhadap tanah  beliau bagi mendapatkan sempadan yang muktamad berdasarkan keluasan yang yang dinyatakan didalam hakmlik beliau. Bagi tujuan ini, beliau perlu melantik Jurukur Tanah Berlesen (berkelayakan) bagi penyediaan pelan untuk disahkan oleh PUN ataupun memohon kepada JUPEM pengukuran tanah beliau. Dinasihatkan juga En.Ali memohon hakmilik tetap (FT) kepada Pentadbir Tanah melalui pelan yang telah diukur halus tersebut.
Setelah pengukuran
Terdapat dua kemungkinan hasil dari pengukuran iaitu rumah En.Ali benar-benar masuk ke tanh jirannya ataupun tidak.
Rumah En.Ali tidak termasuk  ke tanah jiran.
En.Ali bolehlah mengemukakan bukti-bukti pengukuran dan proses-proses yang telah dilaksanakan kepada jirannya. Terutamanya, beiau perlu membuktikan tanda garis sempadan melalui pengukuran semula dengan kedudukan rumah beliau.Ini bagi menafikan tuntutan beliau sebelum ini.
Rumah En.Ali termasuk ke dalam tanah jiran.
Selepas pengukuran semula didapati rumah beliau melangkaui sempadan tanah jirannya. Mengikut undang-undang hakmilik adalah bukti muktamad dimana jirannya mempunyai hak eksklusif keatas tanahnya dan boleh bertindak terhadap penceroboh seperti En.Ali. Namun begitu, En.Ali mungkin mengalami kerugian yang besar jika merobohkan rumahnya. Di peringkat awal dicadangkan perbincangan antara beliau dengan jirannya, dinasihatkan seperti berikut:
i.                     Membeli  keseluruhan tanah  jirannya sekiranya jiran beliau bersetuju.atau
ii.                   Membeli bahagian yang terlibat dengan cara berikut (jika jirannya setuju dan diluluskan oleh PBN). Iaitu membeli bahagian tanah jiran yang terlibat dengan harga yang dipersetujui, Jiran memindahmilik sebahagian dari tanahnya yang terlibat berdasarkan keluasan dan syer yang bersesuaian dan seterusnya jirannya membuat pecah bahagian (bagi tujuan mengeluarkan hakmilik berasingan) dan menyerahkan hakmilik yang terlibat kepada En.Ali.
Jika, tiada persetujuan yang diperolehi, En.Ali terpaksa merobohkan binaan/rumah yang terlibat.

Tuesday, 16 October 2012

Ringkasan: Penempatan awal di Tanah Melayu

Zaman Batu
 Zaman batu terbahagi pada 3 fasa iaitu:

1.  Zaman Batu Awal (Paleolitik)


Tahun              :           8,000 tahun S.M
Penempatan     :           Gua-gua batu kapur berhampiran puncca air
                                   (Gua Badak & Kota Tampan ,Perak, Gua Niah, Sarawak dan Tingkayu ,Sabah)
                                   ancaman binatang buas dan cuaca buruk.
Pekerjaan                  berburu ,bertukang dan senjata


2.  Zaman Batu Tengah (Mesolitik)

Tahun              :           5,000 tahun S.M
Penempatan     :           Sebahagian besar di Gua Batu kapur, Pinggir2 Laut
                                    (Gua Cha-Kelantan, Gua Kecil-Pahang, Jenderam Hilir-SelangorGua Madai,
                                   GuaTengkorak, Gua Kamantong di Sabah, Gua Niah-Sarawak)

Pekerjaan       :           Berburu dan menangkap ikan, bercucuk tanam

Aktiviti            :           pertukaran hasil tembikar dari penduduk pendalaman dan kulit-                                  kulit siput penduduk pinggir pantai sebagai gantian kepada barang makanan.      

 
3.         Zaman Batu Baru (Neolitik)

Tahun              :         2,500 tahun S.M

Penempatan     :         Kebanyakkannya di persisiran pantai dan sedikit di dalam gua

Pekerjaan                berburu, menangkap ikan , bercucuk tanam dan berdagang

Aktiviti                    lebih maju dari zaman sebelum dengan kehidupan yang lebih tersusun dan teratur.  
                                Wujudnya aktiviti perdagangan seperti hasil laut iaitu ikan ,siput ,kerang dan                 
                                 hasil hutan seperti damar,rotan,cendana, kayu gaharu dan gading.

Pembaharuan   :           -alat-alat baru seperti kapak,pisau dan beliung
                                    -perahu untuk berdagang- barang-barang perhiasan seperti gelang,batu kawi 
                                    untuk perhiasan diri dan mengecat  tembikar

                  


Zaman Logam (Gangga-Besi)

Zaman batu berakhir dengan zaman logam (gangga besi) dimana pembaharuan dan teknologi mula dijelajahi dan dipraktikkan seterusnya mewujudkan masyarakat bertamadun. Sistem kenegaraan dan beraja wujud selepas ini.

Tahun              :           5 S.M hingga Abad 2 T.M

Penempatan     :           kawasan lapang,di tepi sungai dan persisiran pantai (penempatan paling penting di   
                                   Sungai Lang ,Selangor dan batu Buruk,Terengganu.

Aktiviti            :           lebih tersusun dari ketiga-tiga zaman terdahulu dengan kerja-kerja memburu,
                                   bercucuk tanam,memungut hasil hutan,menangkap ikan,berternak, melombong 
                                  dan  berdagang.

Pembaharuan   :         -penciptaan barangan besi untuk menebas,menggali dan menebang pokok dan 
                                   perlombongan (tulang mawas)
                                   -kepercayaan kepada adat dan kepercayaan dengan menanam  mayat berbatu 
                                     keping dan keranda

Sumber : Malaysia Kita, web-web semasa